Tercipta satu lembaran sejarah
Di tanah suci kota Mekah
Hari yang mulia penuh syahadah
Bermulalah sebuah kisah
Bermulalah sebuah kisah
Malam isnin subuh yang indah
12 rabiulawal yang cerah
20 April tahun gajah
Lahirlah zuriat dan syahadah
Macam ni lah lebih kurang bait-bait lagu Junjungan Mulia dendangan kumpulan nasyid klasik, Al-Mizan. Lagu evergreen sentiasa walaupun kumpulan ni dah tak aktif lagi. Layan jugak bukak lagu nasyid pasal Rasullullah di pagi maulidurrasul ni..
Entri ni bukan nak cerita pasal lagu tapi pasal Maulidurrasul yang disambut oleh umat Islam seluruh dunia khususnya di Malaysia. Hari ni juga merupakan cuti umum untuk negeri Pulau Pinang dan negeri-negeri yang lain. Bolehlah rehat-rehat di rumah dikala cuti-cuti Malaysia yang berakhir Ahad. Minggu depan test yang berlambak sedang menuggu giliran untuk diduduki. Jangan lupa study ya!
Hari ni merupakan hari kelahiran rasul junjungan kita yang telah meninggalkan kita semua buat selama-lamanya lebih 1400 tahun dahulu. Moga kita semua berpeluang untuk bertemu dengan baginda di akhirat sana.
Sambutan di masa lalu....
Teringat masa majlis sambutan di SKTU2 dulu dan di SMKAJB. Sangat meriah rasanya walaupun hanya murid sekolah saya yang menyambutnya tanpa penglibatan pihak luar. Kalau ada pun mak ayah yang join. Tak lupa juga polis trafik yang sangat setia mengescort kami semasa berarak.
Di SKTU2 dulu kami berarak dari Dataran Saujana sampailah ke Jalan Perubatan kat belakang sekolah. Letih weh berjalan. Dah la area Perubatan tu pun besar. Kalau berarak pusing satu taman mungkin tumpang van untuk murid sakit la jawabnya..hehe. Mak ayah yang tinggal berhampiran sekolah senyum sahaja melihat anak-anak kecil mereka berarak dengan segak berpakaiankan baju melayu dan baju kurung ketika melalui kawasan rumah mereka.
Ketika di SMKA Johor Bahru pun boleh tahan meriahnya. Perarakan diadakan pada sebelah pagi dan route yang dilalui ialah sekitar kawasan sekolah dan keluar sikit dikawasan taman perumahan Taman Johor Jaya. Tajam saja pandangan ustaz, ustazah dan cikgu yang lain memerhatikan kami supaya tiada yang sempat fly bila berarak tu.
Berarak siap ada pertandingan lagi iaitu pasukan terbaik, sepanduk terbaik, selawat terbaik dan sebagainya. Jadi kami bersaing sesama sendiri dan team yang dibuat mengikut tingkatan. Dua team untuk satu tingkatan yang dipecahkan kepada pelajar putera dan puteri. Punyalah semangat sampai warna-warni colour sepanduk kami. Pakaian kami pun siap ada aksesori lagi.
Habis berarak ada pula jamuan makan dalam dulang. Satu yang sangat saya rindukan hingga sekarang. Kalau hari ni makan dalam polystyrene je tanpa dikongsi dengan orang lain. Tak tahulah kalau ada polystyrene sebesar dulang besi seperti yang digunakan dulu. Yang pasti, feelnya juga sangat berbeza. Kadang-kadang ada ceramah yang disampaikan oleh ustaz jemputan atau dari SMKAJB sendiri. Ada yang mengantuk, berbual dan yang tidur atas peha sendiri pun ada tika ceramah disampaikan. Fleksibel betul badannya. Macam-macam gelagat boleh dilihat.
Sayangnya tiada gambar yang saya simpan untuk tatapan pembaca semua. Moga kenangan ini akan terus terpahat di hati ketika mengingati rakan-rakan seperjuangan semua.
Kalau sekarang sambutan maulidurrasul kurang meriah. UiTM Penang pun tak buat sambutan besar-besaran macam dulu. Mungkin hanya slot ceramah sahaja di Pusat Islam nanti. Bila sesi jamuan semuanya makan dalam pinggan masing-masing. Tiada lagi dulang yang menjadi bekas santapan kami ketika maulidurrasul dahulu. Kena tunggu iftar jamaie baru boleh dapat. Suasana memang sudah berubah tapi saya amat bersyukur kerana berkesempatan juga untuk melalui detik-detik yang indah ini sedikit masa yang lalu.
Penghayatan atau sekadar sambutan?
Mari kita berfikir sejenak.. Adakah bila kita menyambut hari kebesaran Islam ini hanya sekadar sambutan atau penghayatan yang berterusan?
Teringat kata-kata seorang ulama bahawa sambutan maulid nabi bukanlah sesuatu yang wajib dalam Islam. Malah pada zaman Rasulullah dulu pun tak pernah disambut. Saya tidak berniat untuk berhujah atau berhukum di sini sebab memang tak pandai pun. Tapi janganlah kita melenting dengan melemparkan tuduhan bidaah dan sebagainya terhadap mereka yang menyambut perayaan ini. Lagipun ia merupakan satu cara yang baik untuk mengingati baginda dikala umat Islam yang semakin melupakan agamanya sendiri dalam praktis kehidupan. Hanya perkataan ISLAM sahaja yang masih melekat di IC. Nauzubillah...
Bila disambut pula janganlah hanya riuh berselawat lepas tu senyap sunyi pula dalam amalan sunnah. Memang kita tak mampu untuk mengamalkan semuanya. Tapi sekurang-kurangnya mana yang mampu eloklah kita lakukan sementara masih berkesempatan. Paling tidak buat yang simple-simple sudah macam baca al-Quran, selawat, ikut adab-adab nabi dan banyak lagi yang lain-lain. Yang ni googlelah sendiri ya atau tanya pada yang lebih alim.
Rasionalnya kerana besarnya ganjaran buat kita yang istiqamah dalam mengamalkan sunnahnya. 100 pahala mati syahid yang dijanjikan. Banyak tu! Kalau zaman nabi dulu pun terpaksa berperang ke jalan Allah untuk mendapatkan 1 pahala mati syahid. Sekarang hanya istiqamah dalam mengamalkan sunnah sahaja yang diperlukan dan 100 pahala mati syahid bakal didepositkan. Lagi banyak yang diamalkan lagi berlipat ganda ganjaran yang diberikan. Umur kita pun pendek je. Eloklah direbut sebelum terlambat. Kurang-kurang bolehlah menghapuskan dosa-dosa lepas yang bertimbun.
Tidak hanya menyampaikan mesej penaja ini kepada pembaca semata. Tapi juga buat diri ini yang hina di sisiNya : )
:: Rasul Diingati Sunnah Dihayati ::
:: Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1431H ::